Saturday, 28 June 2008
Tuesday, 24 June 2008
Suara NUJ-UM 2008
Suara NUJ-UM boleh di muat turun melalui pautan di bawah. Fail adalah adalah dalam format PDF.
>> Muat Turun Suara NUJ-UM 2008
Wednesday, 4 June 2008
Harga minyak naik. Elaun kenderaan perlu segera naik

Kepada semua ahli NUJ-UM (sila sebarkan)
Kesatuan memandang serius implikasi kenaikan harga minyak petrol sebanyak 78 sen seliter berkuatkuasa lepas tengah malam ini (5 Jun 2008) ke atas ahli-ahli NUJ-UM termasuk kemungkinan peningkatan harga barangan dan kos sara hidup selepas ini.
Bagi makluman para ahli, kesatuan telah mengemukakan secara rasmi cadangan Perjanjian Bersama (CA) 2008-2011 kepada syarikat pada 15 Mei 2008 antaranya membabitkan soal kenaikan gaji, elaun kenderaan dan elaun sara hidup serta penambah baikkan terma-terma perkhidmatan.
Cadangan yang dikemukakan itu adalah mengambil kira unjuran kenaikan inflasi dan pelbagai aspek berkaitan industri persuratkhabaran berasaskan konsep kompetitif, adil dan berkebajikan.
Bagaimanapun dengan perkembangan terkini, kesatuan berpandangan satu langkah segera perlu dilakukan bagi mengatasi implikasi kenaikan harga minyak kerana ia membabitkan operasi syarikat.
Oleh demikian, antara langkah drastic yang perlu dilakukan ialah memanggil satu mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCC) dengan majikan bagi membolehkan kadar elaun kenderaan yang sedia ada dinaikkan pada kadar yang lebih munasabah.
Langkah ini perlu dilaksanakan secara berasingan tanpa perlu menunggu proses rundingan CA baru bermula memandangkan pekerja perlu menangung kos operasi syarikat pada kadar harga minyak yang baru.
Ini juga termasuk kadar tuntuan perbatuan di mana eksekutif dan KKPA telah diselaraskan pada 60 sen sekilometer tetapi NUJ masih kekal pada kadar 50 sen sekilometer.
Kesatuan juga berharap dengan perkembangan terkini, syarikat dapat mengemukakan maklum balas cadangan CA dengan kadar segera bagi membolehkan proses perundingan dimula dengan secepat mungkin.
Ini demi kebaikan dan kebajikan para pekerja yang menjadi aset utama syarikat.
Sekian.
HELMI MOHD FOAD
Pengerusi NUJ-UM
Friday, 16 May 2008
Mesyuarat Agung Dwitahunan NUJ-UM 2008-2010
Jawatankuasa Cawangan NUJ-UM membuat keputusan untuk mengadakan mesyuarat agung dwitahunan 2008-2010 pada 27 Jun 2008 (Jumaat) pada sebelah malam di Dewan Besar Utusan Melayu.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha untuk memberikan peluang kepada para ahli untuk bersama-sama menyertai forum tahunan yang begitu penting bagi membincangkan perkembangan terkini kesatuan, bermuhasabah dan menentukan halatuju masa depan.
Setiausaha Cawangan, Saifulizam Mohamad telah mengeluarkan notis mengenai mesyuarat agung itu pada 14 Mei lalu selaras dengan Peraturan 30.2 Perlembagaan NUJM.
Sehubungan itu ahli-ahli dijemput mengemukakan usul untuk perbincangan pada mesyuarat tersebut dan juga pencalonan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Cawangan yang baru (Exco) selan 10 orang perwakilan bagi mesyuarat dwitahunan NUJ Pusat.
Untuk itu, pencalonan dan usul hendaklah sampai kepada Setiausaha Cawangan pada Jumaat 13 Jun 2008 tidak lewat pukul 6 petang.
Semua jawatan Exco adalah terbuka untuk dipertandingkan iaitu, Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan ahli Jawatankuasa (enam orang) serta perwakilan mesyuarat dwitahunan NUJ Pusat (10 orang)
Borang pencalonan boleh diperoleh daripada Setiausaha Cawangan, saudara Saifulizam
Sementara itu bagi menjayakan mesyuarat kita pada tahun ini kesatuan amat mengalu-alukan bantuan daripada ahli untuk turut sama menghulurkan bantuan dengan menjadi sub committee (pendaftaran/persiapan dewan dan alat siaran raya/makanan/cenderahati atau ingin membuat penajaan. Untuk boleh berhubung dengan mana-mana exco NUJ-UM.
Semoga pada tahun ini mesyuarat kita lebih meriah dengan penyertaan daripada ahli-ahli NUJ-UM yang dihormati.
Thursday, 24 April 2008
Cadangan menarik balik dekstop
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Sunday, 20 April 2008
Perkembangan CA 2008-2011
Sesi perbincangan yang diadakan selama tiga hari berturut-turut di Pusat Latihan Utusan (PLU) di sini memasukkan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para ahli NUJ-UM pada mesyuarat 18 Februari lalu.
Rumusan berkenaan juga mengambil kira rangkuman pandangan dan cadangan ahli-ahli kesatuan di biro-biro melalui siri lawatan exco sepanjang tahun lalu dan tahun ini ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Jawatankuasa Penambahbaikan CA yang diketui oleh Pengerusi NUJ-UM, Helmi Foad akan membuat semakan semula pada mesyuarat bulanan Exco pada penghujung bulan ini sebelum mengemukakan cadangan baru itu kepada majikan pada Mei ini.
Bagaimanapun kesatuan masih bersedia menerima maklum balas daripada ahli NUJ-UM bagi melengkapkan kertas cadangan CA tersebut.
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Pengurangan dan penarikan balik komputer
ADALAH dimaklumkan, Kesatuan tidak pernah menyatakan persetujuan ke atas tindakan mengurangkan jumlah komputer desktop ekoran kewujudan skim pinjaman laptop.
Kesatuan cuma mengingatkan sebarang tindakan perlu dipastikan tidak menjejaskan operasi harian dan keperluan pekerja.
Kesatuan telah menerima beberapa pandangan dan rungutan daripada ahli termasuk daripada para pegawai yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan mengurangkan komputer yang merupakan kelengkapan bekerja dan membabitkan operasi syarikat.
Pengurangan komputer tersebut dibimbangi akan membuatkan pekerja yang tidak membeli laptop akhirnya akan terpaksa membeli laptop.
Lagi pun, kita sedia maklum sejak dari dulu lagi jumlah desktop terutama di Jabatan Pengarang di Ibu Pejabat tidak pernah cukup. Jurang pemilikan komputer dengan jumlah pemberita begitu jauh.
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Friday, 11 April 2008
Makluman berkenaan isu komputer riba
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Keputusan Pengurusan Syarikat berkenaan Isu Komputer Riba
Keputusan oleh Pengurusan Syarikat
1. Subsidi: Tiada Subsidi akan diberikan
2. Broadband : Kekal seperti sedia ada. Tetapi akan disemak semula selepas tiga tahun
3. Komputer Beli Sendiri: Lulus untuk dapat broadband, tetapi perlu mematuhi syarat perisian yang ditetapkan oleh Syarikat serta perlu kemukakan bukti pembelian laptop dan dapatkan pengesahan daripada Jabatan Teknologi Maklumat berkenaan dengan spesifikasi laptop.
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Jawatankuasa Khas Penambahbaikan CA
jawatankuasa khas penambahbaikan CA yang bakal tamat menjelang julai
ini.
Selaras itu saya diamanahkan untuk mempengerusikan jawatan
penyediaan cadangan CA baru ni yang bakal kita serahkan kepada
syarikat pada mei ini.
Langkah pertama kesatuan dah ada akan meeting dengan ahli pada 18
Feb lalu bagi mendapatkan cadangan balas. tetapi setakat ini tidak ramai yg tampil untuk memberikan cadangan secara khusus. jadi NUJ masih terus membuka cadangan itu sekiranya ahli mempunyai pandangan... .
Insyallah kali ini kita akan berusaha untuk membuat yang lebih baik
demi kebaikan kita semua.
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Monday, 17 March 2008
Skim Pinjaman Komputer Riba
Sukacita dimaklumkan, Kesatuan dan pihak pengurusan telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) membabitkan skim pinjaman pembelian komputer riba pada 6 Mac lalu di Pusat Latihan Utusan Melayu. Berikut adalah antara hasil perbincangan tersebut;
1. Kesatuan menyatakan rasa kesal kerana tawaran skim tersebut tidak dimaklum dan dibincangkan dengan kesatuan sehingga berlaku beberapa kekeliruan di kalangan ahli. Kesatuan menegaskan perbincangan adalah perlu kerana ia memberikan implikasi kewangan ahli di samping menyentuh polisi masa depan syarikat mengenai usaha menghapuskan komputer (PC) secara beransur-ansur setelah pekerja memiliki komputer riba (yang dibeli dengan duit pekerja!!!).
2. Kesatuan menjelaskan kepada syarikat bahawa NUJ-UM tidak pernah menolak
skim tersebut sebaliknya mengakui ia memberikan kebaikan kepada kakitangan,
tetapi mahu memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
3. Kesatuan mendapatkan kepastian daripada syarikat bahawa skim pinjaman tersebut adalah terbuka kepada kakitangan di bawah Jabatan Pengarang dan ia bukan suatu yang `WAJIB’. Tetapi kesatuan melahirkan kebimbangan bahawa suatu hari ini dengan faktor perubahan persekitaran kerja (nature of job) dan polisi mengurangkan jumlah PC akan membuatkan pekerja akhirnya terpaksa membeli laptop.
4. Kesatuan juga mendapatkan jaminan daripada syarikat bahawa jumlah PC tidak akan dikurangkan sehingga menjejaskan operasi dan memberikan kesan kepada kakitangan yang tidak mengikuti skim pinjaman tersebut atas dasar kelengkapan bekerja adalah satu tanggungjawab syarikat.
5. Malah sekarang pun jumlah komputer yang ada tidak seimbang dengan jumlah kakitangan. Syarikat memberikan jaminan komputer-komputer di ibu pejabat dan biro-biro akan dikekalkan.
6. Kesatuan berpuas hati dengan penjelasan syarikat tentang harga yang ditawarkan bahawa ia adalah yang terbaik di pasaran. Mengenai senarai harga baru yang dikeluarkan, syarikat memilih laptop dari Dell kerana atas faktor pembelian boleh dilakukan dengan lebih cepat.
7. Pengurangan harga dibuat berdasarkan persetujuan mengurangkan dari segi jaminan respon bagi memperbaiki kerosakan dari 4 jam kepada 24 jam bagi tempoh tiga tahun selain diberikan perlindungan percuma bagi kerosakan akibat kecuaian sendiri.
8. Kesatuan berpuas hati dengan harga dan spesifikasi yang ditawarkan oleh syarikat termasuk cara pembelian dilakukan dengan syarikat principal dan tidak menggunakan orang tengah.
9. Bagi jurufoto, Kesatuan membangkitkan Perkara 48 (b) – Untuk Jurufoto, syarikat hendaklah menyediakan segala kelengkapan bukan sebagai pinjaman.
10. Kesatuan berpendapat apabila semua jurufoto sudah menggunakan kamera digital, maka mereka perlu dibekalkan dengan komputer riba selaras dengan rancangan syarikat untuk mewujudkan konsep jurufoto di lokasi.
11. Bagaimanapun, Kesatuan meminta skim pinjaman itu tetap terbuka bagi jurugambar yang mahu membuat pinjaman.
12. Kemudahan broadband sepanjang tempoh berkhidmat. Syarikat menyatakan perkara itu masih belum muktamad dan akan dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan dalam tempoh terdekat.
13. Kesatuan mengemukakan cadangan agar pekerja yang sudah memiliki komputer riba seperti mereka yang masih mempunyai perjanjian dengan JUASA juga diberikan kemudahan broadband. Syarikat akan membawa perkara itu kepada mesyuarat pengurusan untuk diputuskan. Bagaimanapun berkuatkuasa serta merta, pekerja yang sudah mempunyai laptop boleh merujuk kepada Bahagian IT Utusan bagi proses pemeriksaan dari segi kesesuaian system dan memasukkan perisian yang diperlukan, seterusnya dicadangkan bagi diberikan kemudahan broadband.
14. Kesatuan meminta syarikat memberikan subsidi bagi pinjaman tersebut, dengan merujuk kepada ketetapan pada mesyuarat agung Dwi Tahunan NUJ-UM 2004-2006 yang memohon subsidi 70:30 peratus diberikan kepada pekerja.
15. Permintaan bagi diberikan subsidi adalah wajar kerana pembelian komputer riba adalah untuk kegunaan operasi syarikat selain boleh menjimatkan kewangan dalama tempoh jangka masa panjang seperti berlaku kecemasan.
16. Kesatuan meminta bahagian sumber manusia mengemukakan mandat ahli kesatuan agar mereka mendapat subsidi bagi skim pinjaman tersebut dengan mengambil kira soal beban kakitangan untuk membiayai pinjaman berkenaan selama tiga tahun berbanding jumlah kenaikan gaji tahunan mereka yang tidak sampai mencecah RM100.
17. Kesatuan dan syarikat bersetuju agar terma perjanjian pinjaman yang baru akan dikeluarkan sekiranya terdapat perubahan terbaru hasil perbincangan berkenaan dan ia tidak menjejaskan mereka yang telah menandatangani perjanjian pembelian.
Sekian.
Sekretariat NUJ-UM
Wednesday, 13 February 2008
Al-Fatihah

SELURUH barisan kepimpinan NUJ-UM dan kakitangan Utusan Melayu merakamkan ucapan takziah kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan seluruh ahli keluarga atas pemergian ibu beliau ke rahmatullah semalam.
Kami mendoakan semoaga arwah ditempatkan dikalangan para solihin dan dicucuri rahmat atas rohnya.
SEKRETARIAT NUJ-UM
BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA
Tuesday, 5 February 2008
Skim Pinjaman Pembelian Komputer Riba
Setakat ini, kesatuan tidak diberikan penerangan atau dipanggil membincangkan perkara tersebut meskipun ia membabitkan implikasi secara langsung kepada kewangan para ahli kesatuan.
Cadangan tersebut yang sudah didengar sejak penghujung tahun lalu difahamkan akan dilaksanakan dengan para pekerja perlu membuat pinjaman 100 peratus tanpa faedah dengan kemudahan broadband disediakan percuma.
Bagaimanapun sehingga kini tiada perincian mengenainya dikeluarkan termasuk sebarang pekeliling tapi dah jenuh heboh diperkatakan.
Di sini timbul beberapa persoalan:
- Adakah pekerja diwajibkan mengikuti skim pinjaman komputer tersebut dengan perlu membuat pinjaman 100 peratus?
- Kini hampir 50 peratus jurugambar dan wartawan sudah memilik komputer riba (nak tunggu syarikat sediakan lambat sangat!), adakah mereka perlu juga membuat pinjaman lagi dan adakah mereka juga akan diberikan kemudahan broadband percuma.
- Adakah lepas ini syarikat tidak akan lagi menyediakan komputer (PC) atau mengurangkannya setelah semua wartawan perlu buat pinjaman komputer?
- edangkan bagi penyediaan kelengkapan bekerja adalah tanggungjawab syarikat.
- Kalau komputer itu mengalami kerosakan siapa yang akan tanggung kosnya. Pekerja? Sedangkan komputer itu digunakan untuk syarikat.
- Adakah pinjaman 100 peratus itu berdasarkan harga komputer di pasaran? Kalau gitu sama je kalau kita beli sendiri.
Dulu syarikat pernah bercadang nak beri pinjaman atas dasar 50:50 tetapi kesatuan dalam usul pada Mesyuarat Agung Dwitahunan 2004-2006 buat ketetapan mahu kadar 70 peratus (syarikat) dan 30 peratus kakitangan.
Skim itu boleh diterima sekiranya harga yang dibeli adalah di BAWAH daripada harga pasaran. Dan pembelian perlu dibuat secara terus (direct nego) dengan syarikat pengeluar.
Bimbang nanti ada pihak tertentu cuba mengaut keuntungan atas angin sedangkan yang membayarnya adalah pekerja.
SEKRETARIAT NUJ-UM
..: BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA :..
Tuesday, 22 January 2008
Panel Klinik & Hospital UMMB 2008
Sila 'browse' ke ruangan 'Pautan' di blog ini dan muat turun pautan Panel Klinik & Hospital UMMB 2008. Setelah selesai buka fail tersebut menggunakan Microsoft Excell.
BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA
Sunday, 7 October 2007
RAYUAN SEMPENA 10 RAMADAN TERAKHIR: KAJI SEMULA KEPUTUSAN BEROPERASI PADA HARI RAYA AIDILFITRI 1428H
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) juga bersepakat bersama NUJ-UM untuk meminta syarikat menarik balik keputusan tersebut.
- Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kebesaran yang paling utama yang perlu dirayakan oleh majoriti pekerja Utusan Melayu yang beragama Islam.
- Demi menghormati hari kebesaran Islam itu, maka wajar syarikat mengambil langkah menutup operasi pada hari berkenaan. Ini akan memberikan kegembiraan kepada para pekerja kerana dapat menyambutnya setahun sekali dalam suasana gembira.
- Lagi pun seperti sebelumnya, tahun ini syarikat tidak mengisytiharkan BONUS bagi kegunaan Hari Raya. Justeru dengan mengisytiharkan bekerja pada hari raya, apakah kegembiraan yang boleh diraikan oleh pekerja?
- Kesatuan berpendapat keputusan untuk beroperasi pada Hari Raya tidak wajar ketika mana syarikat menyedari bahawa operasi berkenaan akan menyebabkan kerugian kepada syarikat.
- Ini berikutan, ketiadaan vendor dan penjual akhbar yang bercuti ketika hari raya menyebabkan akhbar pada hari berkenaan tidak dapat dijual.
- Jentera Bahagian Pemasaran Utusan juga tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi bagi menghantar akhbar di pasaran dan ini memerlukan runners yang difahamkan perlu dibayar.
- Jumlah cetakan bagi penerbitan Mingguan Malaysia/KOSMO Ahad juga terpaksa dikurangkan bagi mengelakkan jumlah return yang tinggi sekali gus menyebabkan kerugian dari segi rating The Audit Bureau of Circulation (ABC).
- Syarikat akhbar lain termasuk akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil difahamkan juga tidak akan beroperasi pada Hari Raya pertama atas alasan vendor bercuti.
- Jadi amat malang sekiranya akhbar milik Melayu mengambil keputusan untuk beroperasi pada hari raya pertama.
- Kesatuan berpendapat sekiranya penerbitan pada hari raya dilaksanakan semata-mata mahu menjaga hati pembaca Utusan, maka sepatutnya syarikat perlu TERLEBIH DAHULU MENJAGA HATI PEKERJA.
NUJ-UM bersetuju JCC tersebut diadakan bersama dengan KKPA Utusan Melayu dengan kadar segera kerana isu ini melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.
BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA
Jawatankuasa NUJ Cawangan Utusan Melayu
nuj-um.blogspot.com
Tuesday, 28 August 2007
Akhbar Melayu – Antara Persepsi dan Realiti
“MERDEKAKAH minda orang Melayu apabila akhbar harian Melayu terbesar adalah akhbar tabloid Harian Metro dan akhbar Melayu yang paling pantas berkembang adalah tabloid Kosmo!? Pengedaran dan pembacaan Utusan Malaysia merosot. Berita Harian naik sedikit.
Apakah ini bermakna pembaca mula menolak propaganda politik akhbar-akhbar arus perdana yang serius dan memilih akhbar ringan dan sensasi atau kerana Harian Metro dan Kosmo! lebih murah harganya?”
Izinkan saya merujuk kepada beberapa fakta yang saya kemukakan ketika menyampaikan syarahan mengenai “50 tahun akhbar Melayu menjana minda merdeka” pada 23 Ogos lalu di sebuah IPTA di Selangor.
Pertama, walaupun orang Melayu berupa 50 peratus penduduk Malaysia dan bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, nisbah pengedaran dan pembacaan akhbar-akhbar Melayu lebih rendah daripada akhbar Inggeris dan Cina.
Menurut kiraan Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation), tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar Melayu jatuh kepada 1,772,702 naskhah daripada 1,853,625 naskhah pada 2005.
Walaupun orang Cina berupa 32 peratus penduduk Malaysia namun pengedaran akhbar-akhbar Cina tinggi nisbahnya.
Tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar utama Cina berjumlah 1,160,006 naskhah, jatuh sedikit daripada 1,196,072. Pengedaran akhbar-akhbar Inggeris meningkat daripada 1,307,782 kepada 1,347,318.
Dari sudut ekonomi, perangkaan ini menunjukkan bahawa pembaca akhbar Cina dan Inggeris mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi dan mereka lebih banyak membaca.
Peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang pengguna dan tarif perkhidmatan seperti minyak, tepung gandum, gas memasak, rokok, elektrik, tambang dan sewa menyebabkan kuasa membeli golongan berpendapatan rendah merosot.
Umum mungkin tidak mengetahui mengenai kaitan rapat antara kenaikan harga rokok dan minuman keras dengan langganan akhbar dan majalah.
Perokok lebih rela tidak membeli akhbar dan majalah daripada tidak membeli rokok. Rokok tidak boleh dikongsi, tetapi akhbar dan majalah boleh di kongsi di kedai kopi dan pejabat. Sekarang harga rokok sangat mahal.
Boleh jadi akibat kejatuhan kuasa membeli ini semakin ramai pembaca akhbar Melayu berpindah daripada Utusan Melayu dan Berita Harian yang berharga RM1.50 kepada Harian Metro yang berharga RM1.20 dan Kosmo! RM1.
Menurut ABC, antara 2005 dan 2006, penjualan BH merosot sebanyak 16,828 naskhah kepada 214,335, UM 15,357 kepada 213,445 manakala HM meningkat 19,746 kepada 249,575, menjadikannya akhbar harian Melayu terbesar.
Sumber: Nielsen Media Research
Di segi peningkatan pembaca pula, akhbar yang paling pantas berkembang adalah Kosmo! Menurut kajian firma penyelidikan media Nielsen Media Research, antara suku kedua tahun lalu dengan suku kedua tahun ini pembaca Kosmo! meningkat 128 peratus kepada 406,000 orang.
Akhbar harian Melayu yang paling ramai pembaca adalah Harian Metro dengan 1,981,000 – meningkat sebanyak 20 peratus daripada tahun lalu.
Seperkara lagi yang perlu difikirkan adalah kemungkinan pembaca menolak akhbar-akhbar serius seperti Utusan Melayu dan Berita Harian kerana liputan prokerajaan yang terlalu ketara.
Atau mungkin juga kerana apa yang tersurat di dalam akhbar-akhbar ini berlainan dengan apa yang tersirat di dalam kehidupan seharian pembaca seperti kenaikan harga barang, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran.
Atau apakah kerana pembaca bahasa Melayu hari ini lebih meminati cerita-cerita sensasi, gosip dan khayalan yang dimuatkan oleh Harian Metro dan Kosmo!?
Walaupun akhbar-akhbar Melayu memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan dan menyokong kerajaan serta dasar-dasarnya, namun ia masih terkebelakang.
Begitu jugalah dengan untung nasib orang Melayu. Mereka masih terkebelakang dalam banyak bidang berbanding kaum-kaum lain.
Hatta bilangan akhbar arus perdana Melayu pun kecil berbanding akhbar bahasa lain. Kini ada sembilan akhbar harian dan mingguan utama Melayu berbanding 11 dalam bahasa Inggeris dan 14 Cina.
Justeru itu, izinkan saya mengemukakan soalan-soalan berikut untuk kita fikirkan bersama jawapannya:
1. Adakah akhbar dan kewartawanan Melayu berjaya memerdekakan minda orang Melayu?
2. Apakah akhbar dan kewartawanan Melayu mempunyai peranan dan kesan di dalam pembentukan minda rakyat Malaysia keseluruhannya?
3. Apakah masa depan persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu serta orang Melayu secerah dan sehebat yang diuar-uarkan?
4. Apakah penguasaan politik kepartian ke atas persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu menghasilkan kepelbagaian suara atau menyempitkan dan mematikan suara orang Melayu?
5. Adakah kita sedar bahawa persuratkhabaran Inggeris dan Cina semakin bebas dan berkembang untuk menyokong kepelbagaian suara?
6. Adakah kita tahu bahawa kaum Cina amat menghargai kepelbagaian suara sebagai wadah perjuangan kaum dalam segala bidang sehingga secara terbuka menolak percubaan MCA menguasai akhbar-akhbar Cina dan konsolidasi media Cina di bawah satu pemilikan? Dan
7. Apakah akhbar Melayu akan menjadi mangsa kepada kemunculan media baru yang berasaskan Internet seperti laman berita web dan blog?
Tuesday, 7 August 2007
Jangan Uji NUJ-UM!: Suruh ke luar negara, elaun tak mahu beri
menyatakan beliau ditugaskan untuk membuat liputan ke sebuah negara
jiran.
Malangnya majikan enggan meluluskan elaun tugas luar sebagaimana yang
termaktub dalam Perkara 36 Perjanjian Bersama (CA).
Berdasarkan perkara tesebut pekerja yang menjalan tugas luar diberikan
elaun tugas luar iaitu negeri dalam Semenanjung Malaysia sebanyak RM70
sehari, Sabah dan Sarawak (RM100).
Bagi tugas ke negara ASEAN adalah RM150 sehari manakala negara-negara
lain USD 80.
Alasannya, apabila Kesatuan meminta penjelasan daripada majikan,
mereka menyatakan tindakan itu berpandukan klausa (f) Perkara 36
menyebut;
"Pekerja yang diberi peluang ke luar negara oleh Syarikat atas
jemputan atau anjuran mana-mana pihak yang dibiayai sepenuhnya, tidak
tertakluk kepada elaun-elaun di bawah Perkara 36."
Makanan
Dalam hal ini, mereka mendakwa penganjur menyediakan makanan dan
penginapan hotel kepada pekerja terbabit, jadi dia tidak layak
mendapat elaun tugas luar kerana dianggap pekerja itu dibiayai
sepenuhnya.
Seorang pegawai kanan Sumber Manusia memberikan alasan ini- Bahagian
kewangan meminta elaun itu tidak bayar. Kononnya bertepatan dengan
CA.
Sedangkan selama ini sudah menjadi amalan biasa (normal practice)
bahawa semua tugasan luar diberikan elaun walaupun penganjur
menyediakan makanan.
Apa tafsiran dibiayai sepenuhnya? Selama ini Perkara 36 itu telah
sedia ada dalam CA sejak sekian lama tapi tidak pernah timbul pula
elaun tidak diberikan.
Lagi pun sepanjang proses perundingan kita tidak pernah menetapkan
bahawa elaun tugas luar itu adalah semata-mata kos belanja untuk
makanan.
Elaun tugas luar adalah kerana bertugas membuat liputan di luar
kawasan atau negara dan bukannya elaun makan.
Apa hairan dengan makan? Kita pergi asignment pun orang selalu bagi
makan. Biasalah penganjur mesti memuliakan tetamu dengan jamu makan.
Tapi pekerja hanya mahu haknya untuk mendapat elaun.
Lainlah kalau penganjur beri elaun atau duit poket, barulah dikatakan
dibiayai sepenuhnya.
Pekerja yang kena bertugas di luar negara sebelum pergi out station
pun mesti tinggalkan wang untuk anak isteri tapi Utusan Melayu bila
suruh pekerja ke luar negara tak nak bagi duit pulak.
Malah kalau ke luar pasti banyak perbelanjaan yang tidak boleh kita
rancang. Apa kata kalau terkandas di mana-mana tempat. Nak pakai duit
mana? Kalau begitu apa istimewanya ke luar negara?
Kita bukannya pergi makan angin dan bersantai tapi kejar waktu untuk
‘ketuk’ story dan kalau balik sekurang-kurangnya buat rencana untuk
Mega atau Mingguan.
Majikan cuba membuat tafsiran sendiri tentang klausa dalam Perkara 36
itu semata-mata mahu mengurangkan kos dengan cara cuba menafikan hak
pekerja.
Mereka bertindak dulu untuk tengok reaksi kesatuan? Tetapi mereka
silap, Kesatuan tidak bersikap berdiam diri.
Sebarang amalan sedia ada sepatutnya tidak boleh sewenang-wenangnya
diubah dan patut dibawa ke meja perundingan bagi mendapat kata putus
dan pandangan Kesatuan.
Adakah majikan tidak sedar bahawa bukan senang pekerja bertugas ke
luar negara. Malah banyak jemputan daripada pihak luar ditolak oleh
majikan kerana takut terpaksa bayar elaun.
Majikan kenalah timbangkan, kalau jemputan itu boleh membantu pekerja
meningkatkan ilmu pengetahuan dan pendedahan bertugas luar negara,
hantarlah mereka.
Jangan esok wartawan Utusan Melayu jadi katak bawah tempurung.
Apatah lagi kalau sesuatu jemputan itu boleh merapatkan hubungan
dengan penganjur yang akhirnya memberikan pulangan dari segi nilai
berita dan pemberian iklan bagi pendapatan syarikat.
Ini kerana semua perbelanjaan seperti hotel dan pengangkutan
ditanggung oleh penganjur. Syarikat cuma beri elaun tugas luar itu pun
kedekut nak bagi. Tetapi pegawai tukar kereta baru ketika jualan
akhbar kumpulan merosot boleh pula.
Kononnya nak jimat tetapi sebenarnya pegawai-pegawai yang banyak
perhabiskan duit untuk ke luar negara yang kadang-kadang sampai pergi
beramai-ramai, hasilnya hampeh!
Kesatuan sekali lagi ingatkan… jangan uji kami!
Tawaran Eksekutif: Fikir dulu sebelum terima
seorang Exco Kesatuan juga tawarkan kenaikan pangkat dan ada beberapa
ahli NUJ-UM turut ditawarkan Eksekutif.
Secara prinsip, sejak dahulu lagi Kesatuan tidak menghalang mana-mana
ahli untuk menerima jawatan Eksekutif tetapi dalam banyak keadaan
ramai juga termasuk exco terus setia bersama perjuangan NUJ-UM dalam
membela hak pekerja.
Apabila mana-mana ahli NUJ-UM dilantik jadi Eksekutif maknanya ia
adalah satu pengiktirafan bahawa NUJ-UM telah melahirkan ramai
wartawan yang berkelayakan hingga mampu menjawat jawatan lebih tinggi.
Pengarang dan pegawai yang ada sekarang pun dulunya adalah ahli
NUJ-UM dan pernah memberi sumbangan dalam barisan kepimpinan kesatuan
malah ada di antara mereka terus kekal dengan semangat kesatuan.
Dan kesatuan akan terus memberikan kerjasama dengan para eksekutif
bagi memantapkan mutu penerbitan akhbar-akhbar kumpulan Utusan Melayu
sebagaimana kerjasama kita semasa bersama-masa mempertahankan Utusan
Melayu daripada digabungkan dengan NSTP.
Itu keadaannya jika pelantikan eksekutif itu benar-benar dilakukan
dengan wajar dan adil.
Motivasi
Tetapi senarionya sekarang berbeza. Suara-suara tidak puas hati
kedengaran di sana sini menyatakan imbuhan kepada pegawai tidak
seberapa.
Pengurusan sekarang didakwa tidak mempedulikan nasib mereka. Malah ada
eksekutif sendiri mengeluh kepada NUJ-UM bahawa mereka `merana' setelah terima jawatan itu. Suasana lebih parah apabila berlaku peletakan jawatan pegawai silih berganti. Dan ini menjadikan pengurusan semakin tertekan kerana pekerja berhenti beramai-ramai terutama selepas agenda penggabungan
Utusan-NSTP gagal.
Kesan moral ekoran penggabungan masih berlaku dan pengurusan langsung
tidak bertindak memulihkan moral pekerja Utusan.
Wartawan dan pekerja Utusan tidak diberikan motivasi ke mana hala tuju
Utusan selepas agenda penggabungan gagal.
Tetapi majikan boleh cakap kegagalan penggabungan itu langsung tidak
menjejaskan duit syarikat.
Ekoran ketidak puashatian itu, muncul pula blog misteri yang gunakan
nama NUJ-UM, lepas hentam kesatuan, mengata sana sini termasuk kepada
para eksekutif sendiri.
Bagi kesatuan, hanya orang tidak ada platform saja yang bertindak begitu.
Ini menyebabkan lapisan eksekutif menjadi panas. Kesatuan tidak mahu
masuk campur dalam hal ini dan ahli-ahli kesatuan diminta jangan
terperangkap dengan politik golongan yang kecewa ini.
Kita sudah lama meninggalkan era `jahilliah' – era mencarut, era
mengutuk dan era tikam belakang.
Kesatuan mahu hidupkan budaya Utusan sebenar – yang penuh dengan
ikatan kekeluargaan dan jika ada bersilih faham ia hanya sekadar
selisih faham dalam erti `keluarga' dan kita tidak ada simpan dendam.
Dan Kesatuan tidak perlu bersembunyi, kita ada platform dan bebas
mengkritik secara terbuka hatta ketika duduk semeja dengan pengurusan.
Dan inilah masanya Kesatuan mengajak ahli-ahli buat perubahan,
betulkan kepincangan pengurusan melalui perjuangan NUJ-UM.
Sebab itulah dalam hal ini, ahli NUJ-UM perlu berfikir dengan
mendalam sekiranya ditawarkan jawatan Eksekutif.
Fikir dahulu adakah imbuhan yang ditawarkan berbaloi berbanding dengan
faedah-faedah perkhidmatan yang sedia ada dinikmati di bawah NUJ-UM.
Selama ini banyak ahli yang `terperangkap' setelah disogokkan dengan
pandangan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menerima
tawaran itu.
Selepas itu, baru mereka sedar bahawa imbuhan yang diterima tidak
setimpal dengan beban kerja.
Dalam satu mesyuarat JCC antara Kesatuan dengan majikan yang ketika
itu turut dihadiri oleh bekas Timbalan Ketua Pengarang mengenai isu
eksekutif jelas menetapkan pekerja sebenarnya mempunyai tiga pilihan
iaitu MENOLAK, MENERIMA atau MEMINTA TANGGUH jika ada tawaran
eksekutif.
- Kalau dalam tempoh enam bulan tidak disahkan ke jawatan eksekutif mereka boleh kembali ke jawatan lama dan kekal di bawah terma-terma NUJ-UM.
- Kalau ada pegawai beri kata dua bahawa seseorang itu mesti terima kenaikan eksekutif atau dalam erti kata lain dengan paksaan , ia merupakan amalan salah kerana pekerja berhak membuat keputusan kerana perkara itu boleh menjejaskan terma perkhidmatannya.
- Ahli-ahli NUJ-UM mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat kesatuansekiranya ditawarkan jawatan eksekutif sebelum mereka membuat keputusan secara bebas tanpa unsur paksaan atau hasutan.
Dan ahli-ahli NUJ-UM juga mempunyai hak untuk terus bersama berjuang
dalam Kesatuan dan bukannya hanya akur dengan usaha pengurusan untuk
menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin terdesak sekarang.
Lapisan Eksekutif akan terus panas selagi pengurusan gagal
menyelesaikan ketidakpuashatian mereka. Atau pengurusan yang ada
ambil keputusan berhenti bagi meredakan kepanasan itu.
Sebagaimana Pengerusi Eksekutif yang bersikap 'gentlemen' berjanji di
depan NUJ-UM bahawa beliau akan berundur sebelum tempoh kontraknya
tamat sekiranya masih gagal memajukan syarikat.
Dan kita, NUJ-UM akan terus mempersiapkan barisan bagi pusingan
perundingan CA baru pada tahun depan tahun untuk menuntut kenaikan
gaji dan penambahbaikkan terma perkhidmatan sedia ada.
Seperti ungkapan yang kian popular sekarang 'jalan mesti ke depan'.