Tuesday 28 August 2007

Akhbar Melayu – Antara Persepsi dan Realiti

A Kadir Jasin

“MERDEKAKAH minda orang Melayu apabila akhbar harian Melayu terbesar adalah akhbar tabloid Harian Metro dan akhbar Melayu yang paling pantas berkembang adalah tabloid Kosmo!? Pengedaran dan pembacaan Utusan Malaysia merosot. Berita Harian naik sedikit.

Apakah ini bermakna pembaca mula menolak propaganda politik akhbar-akhbar arus perdana yang serius dan memilih akhbar ringan dan sensasi atau kerana Harian Metro dan Kosmo! lebih murah harganya?”

Izinkan saya merujuk kepada beberapa fakta yang saya kemukakan ketika menyampaikan syarahan mengenai “50 tahun akhbar Melayu menjana minda merdeka” pada 23 Ogos lalu di sebuah IPTA di Selangor.

Pertama, walaupun orang Melayu berupa 50 peratus penduduk Malaysia dan bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, nisbah pengedaran dan pembacaan akhbar-akhbar Melayu lebih rendah daripada akhbar Inggeris dan Cina.

Menurut kiraan Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation), tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar Melayu jatuh kepada 1,772,702 naskhah daripada 1,853,625 naskhah pada 2005.

Walaupun orang Cina berupa 32 peratus penduduk Malaysia namun pengedaran akhbar-akhbar Cina tinggi nisbahnya.

Tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar utama Cina berjumlah 1,160,006 naskhah, jatuh sedikit daripada 1,196,072. Pengedaran akhbar-akhbar Inggeris meningkat daripada 1,307,782 kepada 1,347,318.

Dari sudut ekonomi, perangkaan ini menunjukkan bahawa pembaca akhbar Cina dan Inggeris mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi dan mereka lebih banyak membaca.

Peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang pengguna dan tarif perkhidmatan seperti minyak, tepung gandum, gas memasak, rokok, elektrik, tambang dan sewa menyebabkan kuasa membeli golongan berpendapatan rendah merosot.

Umum mungkin tidak mengetahui mengenai kaitan rapat antara kenaikan harga rokok dan minuman keras dengan langganan akhbar dan majalah.

Perokok lebih rela tidak membeli akhbar dan majalah daripada tidak membeli rokok. Rokok tidak boleh dikongsi, tetapi akhbar dan majalah boleh di kongsi di kedai kopi dan pejabat. Sekarang harga rokok sangat mahal.


Boleh jadi akibat kejatuhan kuasa membeli ini semakin ramai pembaca akhbar Melayu berpindah daripada Utusan Melayu dan Berita Harian yang berharga RM1.50 kepada Harian Metro yang berharga RM1.20 dan Kosmo! RM1.

Menurut ABC, antara 2005 dan 2006, penjualan BH merosot sebanyak 16,828 naskhah kepada 214,335, UM 15,357 kepada 213,445 manakala HM meningkat 19,746 kepada 249,575, menjadikannya akhbar harian Melayu terbesar.
Sumber: Nielsen Media Research
Di segi peningkatan pembaca pula, akhbar yang paling pantas berkembang adalah Kosmo! Menurut kajian firma penyelidikan media Nielsen Media Research, antara suku kedua tahun lalu dengan suku kedua tahun ini pembaca Kosmo! meningkat 128 peratus kepada 406,000 orang.

Akhbar harian Melayu yang paling ramai pembaca adalah Harian Metro dengan 1,981,000 – meningkat sebanyak 20 peratus daripada tahun lalu.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan adalah kemungkinan pembaca menolak akhbar-akhbar serius seperti Utusan Melayu dan Berita Harian kerana liputan prokerajaan yang terlalu ketara.

Atau mungkin juga kerana apa yang tersurat di dalam akhbar-akhbar ini berlainan dengan apa yang tersirat di dalam kehidupan seharian pembaca seperti kenaikan harga barang, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran.

Atau apakah kerana pembaca bahasa Melayu hari ini lebih meminati cerita-cerita sensasi, gosip dan khayalan yang dimuatkan oleh Harian Metro dan Kosmo!?

Walaupun akhbar-akhbar Melayu memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan dan menyokong kerajaan serta dasar-dasarnya, namun ia masih terkebelakang.

Begitu jugalah dengan untung nasib orang Melayu. Mereka masih terkebelakang dalam banyak bidang berbanding kaum-kaum lain.

Hatta bilangan akhbar arus perdana Melayu pun kecil berbanding akhbar bahasa lain. Kini ada sembilan akhbar harian dan mingguan utama Melayu berbanding 11 dalam bahasa Inggeris dan 14 Cina.

Justeru itu, izinkan saya mengemukakan soalan-soalan berikut untuk kita fikirkan bersama jawapannya:

1. Adakah akhbar dan kewartawanan Melayu berjaya memerdekakan minda orang Melayu?

2. Apakah akhbar dan kewartawanan Melayu mempunyai peranan dan kesan di dalam pembentukan minda rakyat Malaysia keseluruhannya?

3. Apakah masa depan persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu serta orang Melayu secerah dan sehebat yang diuar-uarkan?

4. Apakah penguasaan politik kepartian ke atas persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu menghasilkan kepelbagaian suara atau menyempitkan dan mematikan suara orang Melayu?

5. Adakah kita sedar bahawa persuratkhabaran Inggeris dan Cina semakin bebas dan berkembang untuk menyokong kepelbagaian suara?

6. Adakah kita tahu bahawa kaum Cina amat menghargai kepelbagaian suara sebagai wadah perjuangan kaum dalam segala bidang sehingga secara terbuka menolak percubaan MCA menguasai akhbar-akhbar Cina dan konsolidasi media Cina di bawah satu pemilikan? Dan

7. Apakah akhbar Melayu akan menjadi mangsa kepada kemunculan media baru yang berasaskan Internet seperti laman berita web dan blog?

Tuesday 7 August 2007

Jangan Uji NUJ-UM!: Suruh ke luar negara, elaun tak mahu beri

BARU-BARU ini NUJ-UM menerima aduan daripada seorang ahli Kesatuan
menyatakan beliau ditugaskan untuk membuat liputan ke sebuah negara
jiran.

Malangnya majikan enggan meluluskan elaun tugas luar sebagaimana yang
termaktub dalam Perkara 36 Perjanjian Bersama (CA).

Berdasarkan perkara tesebut pekerja yang menjalan tugas luar diberikan
elaun tugas luar iaitu negeri dalam Semenanjung Malaysia sebanyak RM70
sehari, Sabah dan Sarawak (RM100).

Bagi tugas ke negara ASEAN adalah RM150 sehari manakala negara-negara
lain USD 80.

Alasannya, apabila Kesatuan meminta penjelasan daripada majikan,
mereka menyatakan tindakan itu berpandukan klausa (f) Perkara 36
menyebut;

"Pekerja yang diberi peluang ke luar negara oleh Syarikat atas
jemputan atau anjuran mana-mana pihak yang dibiayai sepenuhnya, tidak
tertakluk kepada elaun-elaun di bawah Perkara 36."

Makanan

Dalam hal ini, mereka mendakwa penganjur menyediakan makanan dan
penginapan hotel kepada pekerja terbabit, jadi dia tidak layak
mendapat elaun tugas luar kerana dianggap pekerja itu dibiayai
sepenuhnya.

Seorang pegawai kanan Sumber Manusia memberikan alasan ini- Bahagian
kewangan meminta elaun itu tidak bayar. Kononnya bertepatan dengan
CA.

Sedangkan selama ini sudah menjadi amalan biasa (normal practice)
bahawa semua tugasan luar diberikan elaun walaupun penganjur
menyediakan makanan.

Apa tafsiran dibiayai sepenuhnya? Selama ini Perkara 36 itu telah
sedia ada dalam CA sejak sekian lama tapi tidak pernah timbul pula
elaun tidak diberikan.

Lagi pun sepanjang proses perundingan kita tidak pernah menetapkan
bahawa elaun tugas luar itu adalah semata-mata kos belanja untuk
makanan.

Elaun tugas luar adalah kerana bertugas membuat liputan di luar
kawasan atau negara dan bukannya elaun makan.

Apa hairan dengan makan? Kita pergi asignment pun orang selalu bagi
makan. Biasalah penganjur mesti memuliakan tetamu dengan jamu makan.
Tapi pekerja hanya mahu haknya untuk mendapat elaun.

Lainlah kalau penganjur beri elaun atau duit poket, barulah dikatakan
dibiayai sepenuhnya.

Pekerja yang kena bertugas di luar negara sebelum pergi out station
pun mesti tinggalkan wang untuk anak isteri tapi Utusan Melayu bila
suruh pekerja ke luar negara tak nak bagi duit pulak.

Malah kalau ke luar pasti banyak perbelanjaan yang tidak boleh kita
rancang. Apa kata kalau terkandas di mana-mana tempat. Nak pakai duit
mana? Kalau begitu apa istimewanya ke luar negara?

Kita bukannya pergi makan angin dan bersantai tapi kejar waktu untuk
‘ketuk’ story dan kalau balik sekurang-kurangnya buat rencana untuk
Mega atau Mingguan.

Majikan cuba membuat tafsiran sendiri tentang klausa dalam Perkara 36
itu semata-mata mahu mengurangkan kos dengan cara cuba menafikan hak
pekerja.

Mereka bertindak dulu untuk tengok reaksi kesatuan? Tetapi mereka
silap, Kesatuan tidak bersikap berdiam diri.

Sebarang amalan sedia ada sepatutnya tidak boleh sewenang-wenangnya
diubah dan patut dibawa ke meja perundingan bagi mendapat kata putus
dan pandangan Kesatuan.

Adakah majikan tidak sedar bahawa bukan senang pekerja bertugas ke
luar negara. Malah banyak jemputan daripada pihak luar ditolak oleh
majikan kerana takut terpaksa bayar elaun.

Majikan kenalah timbangkan, kalau jemputan itu boleh membantu pekerja
meningkatkan ilmu pengetahuan dan pendedahan bertugas luar negara,
hantarlah mereka.

Jangan esok wartawan Utusan Melayu jadi katak bawah tempurung.
Apatah lagi kalau sesuatu jemputan itu boleh merapatkan hubungan
dengan penganjur yang akhirnya memberikan pulangan dari segi nilai
berita dan pemberian iklan bagi pendapatan syarikat.

Ini kerana semua perbelanjaan seperti hotel dan pengangkutan
ditanggung oleh penganjur. Syarikat cuma beri elaun tugas luar itu pun
kedekut nak bagi. Tetapi pegawai tukar kereta baru ketika jualan
akhbar kumpulan merosot boleh pula.

Kononnya nak jimat tetapi sebenarnya pegawai-pegawai yang banyak
perhabiskan duit untuk ke luar negara yang kadang-kadang sampai pergi
beramai-ramai, hasilnya hampeh!

Kesatuan sekali lagi ingatkan… jangan uji kami!

Tawaran Eksekutif: Fikir dulu sebelum terima

MUSIM kenaikan ke jawatan Eksekutif kembali lagi. Dikhabarkan salah
seorang Exco Kesatuan juga tawarkan kenaikan pangkat dan ada beberapa
ahli NUJ-UM turut ditawarkan Eksekutif.

Secara prinsip, sejak dahulu lagi Kesatuan tidak menghalang mana-mana
ahli untuk menerima jawatan Eksekutif tetapi dalam banyak keadaan
ramai juga termasuk exco terus setia bersama perjuangan NUJ-UM dalam
membela hak pekerja.

Apabila mana-mana ahli NUJ-UM dilantik jadi Eksekutif maknanya ia
adalah satu pengiktirafan bahawa NUJ-UM telah melahirkan ramai
wartawan yang berkelayakan hingga mampu menjawat jawatan lebih tinggi.
Pengarang dan pegawai yang ada sekarang pun dulunya adalah ahli
NUJ-UM dan pernah memberi sumbangan dalam barisan kepimpinan kesatuan
malah ada di antara mereka terus kekal dengan semangat kesatuan.
Dan kesatuan akan terus memberikan kerjasama dengan para eksekutif
bagi memantapkan mutu penerbitan akhbar-akhbar kumpulan Utusan Melayu
sebagaimana kerjasama kita semasa bersama-masa mempertahankan Utusan
Melayu daripada digabungkan dengan NSTP.

Itu keadaannya jika pelantikan eksekutif itu benar-benar dilakukan
dengan wajar dan adil.

Motivasi

Tetapi senarionya sekarang berbeza. Suara-suara tidak puas hati
kedengaran di sana sini menyatakan imbuhan kepada pegawai tidak
seberapa.

Pengurusan sekarang didakwa tidak mempedulikan nasib mereka. Malah ada
eksekutif sendiri mengeluh kepada NUJ-UM bahawa mereka `merana' setelah terima jawatan itu. Suasana lebih parah apabila berlaku peletakan jawatan pegawai silih berganti. Dan ini menjadikan pengurusan semakin tertekan kerana pekerja berhenti beramai-ramai terutama selepas agenda penggabungan
Utusan-NSTP gagal.

Kesan moral ekoran penggabungan masih berlaku dan pengurusan langsung
tidak bertindak memulihkan moral pekerja Utusan.
Wartawan dan pekerja Utusan tidak diberikan motivasi ke mana hala tuju
Utusan selepas agenda penggabungan gagal.
Tetapi majikan boleh cakap kegagalan penggabungan itu langsung tidak
menjejaskan duit syarikat.

Ekoran ketidak puashatian itu, muncul pula blog misteri yang gunakan
nama NUJ-UM, lepas hentam kesatuan, mengata sana sini termasuk kepada
para eksekutif sendiri.

Bagi kesatuan, hanya orang tidak ada platform saja yang bertindak begitu.
Ini menyebabkan lapisan eksekutif menjadi panas. Kesatuan tidak mahu
masuk campur dalam hal ini dan ahli-ahli kesatuan diminta jangan
terperangkap dengan politik golongan yang kecewa ini.

Kita sudah lama meninggalkan era `jahilliah' – era mencarut, era

mengutuk dan era tikam belakang.

Kesatuan mahu hidupkan budaya Utusan sebenar – yang penuh dengan
ikatan kekeluargaan dan jika ada bersilih faham ia hanya sekadar
selisih faham dalam erti `keluarga' dan kita tidak ada simpan dendam.

Dan Kesatuan tidak perlu bersembunyi, kita ada platform dan bebas
mengkritik secara terbuka hatta ketika duduk semeja dengan pengurusan.

Dan inilah masanya Kesatuan mengajak ahli-ahli buat perubahan,
betulkan kepincangan pengurusan melalui perjuangan NUJ-UM.
Sebab itulah dalam hal ini, ahli NUJ-UM perlu berfikir dengan
mendalam sekiranya ditawarkan jawatan Eksekutif.

Fikir dahulu adakah imbuhan yang ditawarkan berbaloi berbanding dengan
faedah-faedah perkhidmatan yang sedia ada dinikmati di bawah NUJ-UM.
Selama ini banyak ahli yang `terperangkap' setelah disogokkan dengan
pandangan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menerima
tawaran itu.

Selepas itu, baru mereka sedar bahawa imbuhan yang diterima tidak
setimpal dengan beban kerja.

Dalam satu mesyuarat JCC antara Kesatuan dengan majikan yang ketika
itu turut dihadiri oleh bekas Timbalan Ketua Pengarang mengenai isu
eksekutif jelas menetapkan pekerja sebenarnya mempunyai tiga pilihan
iaitu MENOLAK, MENERIMA atau MEMINTA TANGGUH jika ada tawaran
eksekutif.

  • Kalau dalam tempoh enam bulan tidak disahkan ke jawatan eksekutif mereka boleh kembali ke jawatan lama dan kekal di bawah terma-terma NUJ-UM.
  • Kalau ada pegawai beri kata dua bahawa seseorang itu mesti terima kenaikan eksekutif atau dalam erti kata lain dengan paksaan , ia merupakan amalan salah kerana pekerja berhak membuat keputusan kerana perkara itu boleh menjejaskan terma perkhidmatannya.
  • Ahli-ahli NUJ-UM mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat kesatuansekiranya ditawarkan jawatan eksekutif sebelum mereka membuat keputusan secara bebas tanpa unsur paksaan atau hasutan.

Dan ahli-ahli NUJ-UM juga mempunyai hak untuk terus bersama berjuang
dalam Kesatuan dan bukannya hanya akur dengan usaha pengurusan untuk
menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin terdesak sekarang.
Lapisan Eksekutif akan terus panas selagi pengurusan gagal
menyelesaikan ketidakpuashatian mereka. Atau pengurusan yang ada
ambil keputusan berhenti bagi meredakan kepanasan itu.

Sebagaimana Pengerusi Eksekutif yang bersikap 'gentlemen' berjanji di
depan NUJ-UM bahawa beliau akan berundur sebelum tempoh kontraknya
tamat sekiranya masih gagal memajukan syarikat.

Dan kita, NUJ-UM akan terus mempersiapkan barisan bagi pusingan
perundingan CA baru pada tahun depan tahun untuk menuntut kenaikan
gaji dan penambahbaikkan terma perkhidmatan sedia ada.

Seperti ungkapan yang kian popular sekarang 'jalan mesti ke depan'.