Monday 17 March 2008

Skim Pinjaman Komputer Riba

Kepada semua ahli NUJ-UM

Sukacita dimaklumkan, Kesatuan dan pihak pengurusan telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) membabitkan skim pinjaman pembelian komputer riba pada 6 Mac lalu di Pusat Latihan Utusan Melayu. Berikut adalah antara hasil perbincangan tersebut;

1. Kesatuan menyatakan rasa kesal kerana tawaran skim tersebut tidak dimaklum dan dibincangkan dengan kesatuan sehingga berlaku beberapa kekeliruan di kalangan ahli. Kesatuan menegaskan perbincangan adalah perlu kerana ia memberikan implikasi kewangan ahli di samping menyentuh polisi masa depan syarikat mengenai usaha menghapuskan komputer (PC) secara beransur-ansur setelah pekerja memiliki komputer riba (yang dibeli dengan duit pekerja!!!).

2. Kesatuan menjelaskan kepada syarikat bahawa NUJ-UM tidak pernah menolak
skim tersebut sebaliknya mengakui ia memberikan kebaikan kepada kakitangan,
tetapi mahu memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

3. Kesatuan mendapatkan kepastian daripada syarikat bahawa skim pinjaman tersebut adalah terbuka kepada kakitangan di bawah Jabatan Pengarang dan ia bukan suatu yang `WAJIB’. Tetapi kesatuan melahirkan kebimbangan bahawa suatu hari ini dengan faktor perubahan persekitaran kerja (nature of job) dan polisi mengurangkan jumlah PC akan membuatkan pekerja akhirnya terpaksa membeli laptop.

4. Kesatuan juga mendapatkan jaminan daripada syarikat bahawa jumlah PC tidak akan dikurangkan sehingga menjejaskan operasi dan memberikan kesan kepada kakitangan yang tidak mengikuti skim pinjaman tersebut atas dasar kelengkapan bekerja adalah satu tanggungjawab syarikat.

5. Malah sekarang pun jumlah komputer yang ada tidak seimbang dengan jumlah kakitangan. Syarikat memberikan jaminan komputer-komputer di ibu pejabat dan biro-biro akan dikekalkan.

6. Kesatuan berpuas hati dengan penjelasan syarikat tentang harga yang ditawarkan bahawa ia adalah yang terbaik di pasaran. Mengenai senarai harga baru yang dikeluarkan, syarikat memilih laptop dari Dell kerana atas faktor pembelian boleh dilakukan dengan lebih cepat.

7. Pengurangan harga dibuat berdasarkan persetujuan mengurangkan dari segi jaminan respon bagi memperbaiki kerosakan dari 4 jam kepada 24 jam bagi tempoh tiga tahun selain diberikan perlindungan percuma bagi kerosakan akibat kecuaian sendiri.

8. Kesatuan berpuas hati dengan harga dan spesifikasi yang ditawarkan oleh syarikat termasuk cara pembelian dilakukan dengan syarikat principal dan tidak menggunakan orang tengah.

9. Bagi jurufoto, Kesatuan membangkitkan Perkara 48 (b) – Untuk Jurufoto, syarikat hendaklah menyediakan segala kelengkapan bukan sebagai pinjaman.

10. Kesatuan berpendapat apabila semua jurufoto sudah menggunakan kamera digital, maka mereka perlu dibekalkan dengan komputer riba selaras dengan rancangan syarikat untuk mewujudkan konsep jurufoto di lokasi.

11. Bagaimanapun, Kesatuan meminta skim pinjaman itu tetap terbuka bagi jurugambar yang mahu membuat pinjaman.

12. Kemudahan broadband sepanjang tempoh berkhidmat. Syarikat menyatakan perkara itu masih belum muktamad dan akan dibawa ke dalam mesyuarat pengurusan dalam tempoh terdekat.

13. Kesatuan mengemukakan cadangan agar pekerja yang sudah memiliki komputer riba seperti mereka yang masih mempunyai perjanjian dengan JUASA juga diberikan kemudahan broadband. Syarikat akan membawa perkara itu kepada mesyuarat pengurusan untuk diputuskan. Bagaimanapun berkuatkuasa serta merta, pekerja yang sudah mempunyai laptop boleh merujuk kepada Bahagian IT Utusan bagi proses pemeriksaan dari segi kesesuaian system dan memasukkan perisian yang diperlukan, seterusnya dicadangkan bagi diberikan kemudahan broadband.

14. Kesatuan meminta syarikat memberikan subsidi bagi pinjaman tersebut, dengan merujuk kepada ketetapan pada mesyuarat agung Dwi Tahunan NUJ-UM 2004-2006 yang memohon subsidi 70:30 peratus diberikan kepada pekerja.

15. Permintaan bagi diberikan subsidi adalah wajar kerana pembelian komputer riba adalah untuk kegunaan operasi syarikat selain boleh menjimatkan kewangan dalama tempoh jangka masa panjang seperti berlaku kecemasan.

16. Kesatuan meminta bahagian sumber manusia mengemukakan mandat ahli kesatuan agar mereka mendapat subsidi bagi skim pinjaman tersebut dengan mengambil kira soal beban kakitangan untuk membiayai pinjaman berkenaan selama tiga tahun berbanding jumlah kenaikan gaji tahunan mereka yang tidak sampai mencecah RM100.

17. Kesatuan dan syarikat bersetuju agar terma perjanjian pinjaman yang baru akan dikeluarkan sekiranya terdapat perubahan terbaru hasil perbincangan berkenaan dan ia tidak menjejaskan mereka yang telah menandatangani perjanjian pembelian.

Sekian.
Sekretariat NUJ-UM