Sunday 7 October 2007

RAYUAN SEMPENA 10 RAMADAN TERAKHIR: KAJI SEMULA KEPUTUSAN BEROPERASI PADA HARI RAYA AIDILFITRI 1428H

MESYUARAT khas jawatankuasa NUJ-UM pada 2 Oktober 2007 membuat ketetapan mendesak agar syarikat mengkaji semula keputusan untuk beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama (13 Oktober 2007) bagi penerbitan Mingguan Malaysia /KOSMO Ahad.

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) juga bersepakat bersama NUJ-UM untuk meminta syarikat menarik balik keputusan tersebut.
  • Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kebesaran yang paling utama yang perlu dirayakan oleh majoriti pekerja Utusan Melayu yang beragama Islam.
  • Demi menghormati hari kebesaran Islam itu, maka wajar syarikat mengambil langkah menutup operasi pada hari berkenaan. Ini akan memberikan kegembiraan kepada para pekerja kerana dapat menyambutnya setahun sekali dalam suasana gembira.
  • Lagi pun seperti sebelumnya, tahun ini syarikat tidak mengisytiharkan BONUS bagi kegunaan Hari Raya. Justeru dengan mengisytiharkan bekerja pada hari raya, apakah kegembiraan yang boleh diraikan oleh pekerja?
  • Kesatuan berpendapat keputusan untuk beroperasi pada Hari Raya tidak wajar ketika mana syarikat menyedari bahawa operasi berkenaan akan menyebabkan kerugian kepada syarikat.
  • Ini berikutan, ketiadaan vendor dan penjual akhbar yang bercuti ketika hari raya menyebabkan akhbar pada hari berkenaan tidak dapat dijual.
  • Jentera Bahagian Pemasaran Utusan juga tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi bagi menghantar akhbar di pasaran dan ini memerlukan runners yang difahamkan perlu dibayar.
  • Jumlah cetakan bagi penerbitan Mingguan Malaysia/KOSMO Ahad juga terpaksa dikurangkan bagi mengelakkan jumlah return yang tinggi sekali gus menyebabkan kerugian dari segi rating The Audit Bureau of Circulation (ABC).
  • Syarikat akhbar lain termasuk akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil difahamkan juga tidak akan beroperasi pada Hari Raya pertama atas alasan vendor bercuti.
  • Jadi amat malang sekiranya akhbar milik Melayu mengambil keputusan untuk beroperasi pada hari raya pertama.
  • Kesatuan berpendapat sekiranya penerbitan pada hari raya dilaksanakan semata-mata mahu menjaga hati pembaca Utusan, maka sepatutnya syarikat perlu TERLEBIH DAHULU MENJAGA HATI PEKERJA.
Menyedari perkara tersebut, Kesatuan meminta syarikat mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCC) bagi membincangkan keputusan untuk beroperasi pada hari raya.

NUJ-UM bersetuju JCC tersebut diadakan bersama dengan KKPA Utusan Melayu dengan kadar segera kerana isu ini melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.


BERSATU MEMBELA HAK PEKERJA


Jawatankuasa NUJ Cawangan Utusan Melayu
nuj-um.blogspot.com