Tuesday 28 August 2007

Akhbar Melayu – Antara Persepsi dan Realiti

A Kadir Jasin

“MERDEKAKAH minda orang Melayu apabila akhbar harian Melayu terbesar adalah akhbar tabloid Harian Metro dan akhbar Melayu yang paling pantas berkembang adalah tabloid Kosmo!? Pengedaran dan pembacaan Utusan Malaysia merosot. Berita Harian naik sedikit.

Apakah ini bermakna pembaca mula menolak propaganda politik akhbar-akhbar arus perdana yang serius dan memilih akhbar ringan dan sensasi atau kerana Harian Metro dan Kosmo! lebih murah harganya?”

Izinkan saya merujuk kepada beberapa fakta yang saya kemukakan ketika menyampaikan syarahan mengenai “50 tahun akhbar Melayu menjana minda merdeka” pada 23 Ogos lalu di sebuah IPTA di Selangor.

Pertama, walaupun orang Melayu berupa 50 peratus penduduk Malaysia dan bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, nisbah pengedaran dan pembacaan akhbar-akhbar Melayu lebih rendah daripada akhbar Inggeris dan Cina.

Menurut kiraan Biro Audit Pengedaran (Audit Bureau of Circulation), tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar Melayu jatuh kepada 1,772,702 naskhah daripada 1,853,625 naskhah pada 2005.

Walaupun orang Cina berupa 32 peratus penduduk Malaysia namun pengedaran akhbar-akhbar Cina tinggi nisbahnya.

Tahun lalu pengedaran akhbar-akhbar utama Cina berjumlah 1,160,006 naskhah, jatuh sedikit daripada 1,196,072. Pengedaran akhbar-akhbar Inggeris meningkat daripada 1,307,782 kepada 1,347,318.

Dari sudut ekonomi, perangkaan ini menunjukkan bahawa pembaca akhbar Cina dan Inggeris mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi dan mereka lebih banyak membaca.

Peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang pengguna dan tarif perkhidmatan seperti minyak, tepung gandum, gas memasak, rokok, elektrik, tambang dan sewa menyebabkan kuasa membeli golongan berpendapatan rendah merosot.

Umum mungkin tidak mengetahui mengenai kaitan rapat antara kenaikan harga rokok dan minuman keras dengan langganan akhbar dan majalah.

Perokok lebih rela tidak membeli akhbar dan majalah daripada tidak membeli rokok. Rokok tidak boleh dikongsi, tetapi akhbar dan majalah boleh di kongsi di kedai kopi dan pejabat. Sekarang harga rokok sangat mahal.


Boleh jadi akibat kejatuhan kuasa membeli ini semakin ramai pembaca akhbar Melayu berpindah daripada Utusan Melayu dan Berita Harian yang berharga RM1.50 kepada Harian Metro yang berharga RM1.20 dan Kosmo! RM1.

Menurut ABC, antara 2005 dan 2006, penjualan BH merosot sebanyak 16,828 naskhah kepada 214,335, UM 15,357 kepada 213,445 manakala HM meningkat 19,746 kepada 249,575, menjadikannya akhbar harian Melayu terbesar.
Sumber: Nielsen Media Research
Di segi peningkatan pembaca pula, akhbar yang paling pantas berkembang adalah Kosmo! Menurut kajian firma penyelidikan media Nielsen Media Research, antara suku kedua tahun lalu dengan suku kedua tahun ini pembaca Kosmo! meningkat 128 peratus kepada 406,000 orang.

Akhbar harian Melayu yang paling ramai pembaca adalah Harian Metro dengan 1,981,000 – meningkat sebanyak 20 peratus daripada tahun lalu.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan adalah kemungkinan pembaca menolak akhbar-akhbar serius seperti Utusan Melayu dan Berita Harian kerana liputan prokerajaan yang terlalu ketara.

Atau mungkin juga kerana apa yang tersurat di dalam akhbar-akhbar ini berlainan dengan apa yang tersirat di dalam kehidupan seharian pembaca seperti kenaikan harga barang, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran.

Atau apakah kerana pembaca bahasa Melayu hari ini lebih meminati cerita-cerita sensasi, gosip dan khayalan yang dimuatkan oleh Harian Metro dan Kosmo!?

Walaupun akhbar-akhbar Melayu memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan dan menyokong kerajaan serta dasar-dasarnya, namun ia masih terkebelakang.

Begitu jugalah dengan untung nasib orang Melayu. Mereka masih terkebelakang dalam banyak bidang berbanding kaum-kaum lain.

Hatta bilangan akhbar arus perdana Melayu pun kecil berbanding akhbar bahasa lain. Kini ada sembilan akhbar harian dan mingguan utama Melayu berbanding 11 dalam bahasa Inggeris dan 14 Cina.

Justeru itu, izinkan saya mengemukakan soalan-soalan berikut untuk kita fikirkan bersama jawapannya:

1. Adakah akhbar dan kewartawanan Melayu berjaya memerdekakan minda orang Melayu?

2. Apakah akhbar dan kewartawanan Melayu mempunyai peranan dan kesan di dalam pembentukan minda rakyat Malaysia keseluruhannya?

3. Apakah masa depan persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu serta orang Melayu secerah dan sehebat yang diuar-uarkan?

4. Apakah penguasaan politik kepartian ke atas persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu menghasilkan kepelbagaian suara atau menyempitkan dan mematikan suara orang Melayu?

5. Adakah kita sedar bahawa persuratkhabaran Inggeris dan Cina semakin bebas dan berkembang untuk menyokong kepelbagaian suara?

6. Adakah kita tahu bahawa kaum Cina amat menghargai kepelbagaian suara sebagai wadah perjuangan kaum dalam segala bidang sehingga secara terbuka menolak percubaan MCA menguasai akhbar-akhbar Cina dan konsolidasi media Cina di bawah satu pemilikan? Dan

7. Apakah akhbar Melayu akan menjadi mangsa kepada kemunculan media baru yang berasaskan Internet seperti laman berita web dan blog?

No comments: