Tuesday, 7 August 2007

Tawaran Eksekutif: Fikir dulu sebelum terima

MUSIM kenaikan ke jawatan Eksekutif kembali lagi. Dikhabarkan salah
seorang Exco Kesatuan juga tawarkan kenaikan pangkat dan ada beberapa
ahli NUJ-UM turut ditawarkan Eksekutif.

Secara prinsip, sejak dahulu lagi Kesatuan tidak menghalang mana-mana
ahli untuk menerima jawatan Eksekutif tetapi dalam banyak keadaan
ramai juga termasuk exco terus setia bersama perjuangan NUJ-UM dalam
membela hak pekerja.

Apabila mana-mana ahli NUJ-UM dilantik jadi Eksekutif maknanya ia
adalah satu pengiktirafan bahawa NUJ-UM telah melahirkan ramai
wartawan yang berkelayakan hingga mampu menjawat jawatan lebih tinggi.
Pengarang dan pegawai yang ada sekarang pun dulunya adalah ahli
NUJ-UM dan pernah memberi sumbangan dalam barisan kepimpinan kesatuan
malah ada di antara mereka terus kekal dengan semangat kesatuan.
Dan kesatuan akan terus memberikan kerjasama dengan para eksekutif
bagi memantapkan mutu penerbitan akhbar-akhbar kumpulan Utusan Melayu
sebagaimana kerjasama kita semasa bersama-masa mempertahankan Utusan
Melayu daripada digabungkan dengan NSTP.

Itu keadaannya jika pelantikan eksekutif itu benar-benar dilakukan
dengan wajar dan adil.

Motivasi

Tetapi senarionya sekarang berbeza. Suara-suara tidak puas hati
kedengaran di sana sini menyatakan imbuhan kepada pegawai tidak
seberapa.

Pengurusan sekarang didakwa tidak mempedulikan nasib mereka. Malah ada
eksekutif sendiri mengeluh kepada NUJ-UM bahawa mereka `merana' setelah terima jawatan itu. Suasana lebih parah apabila berlaku peletakan jawatan pegawai silih berganti. Dan ini menjadikan pengurusan semakin tertekan kerana pekerja berhenti beramai-ramai terutama selepas agenda penggabungan
Utusan-NSTP gagal.

Kesan moral ekoran penggabungan masih berlaku dan pengurusan langsung
tidak bertindak memulihkan moral pekerja Utusan.
Wartawan dan pekerja Utusan tidak diberikan motivasi ke mana hala tuju
Utusan selepas agenda penggabungan gagal.
Tetapi majikan boleh cakap kegagalan penggabungan itu langsung tidak
menjejaskan duit syarikat.

Ekoran ketidak puashatian itu, muncul pula blog misteri yang gunakan
nama NUJ-UM, lepas hentam kesatuan, mengata sana sini termasuk kepada
para eksekutif sendiri.

Bagi kesatuan, hanya orang tidak ada platform saja yang bertindak begitu.
Ini menyebabkan lapisan eksekutif menjadi panas. Kesatuan tidak mahu
masuk campur dalam hal ini dan ahli-ahli kesatuan diminta jangan
terperangkap dengan politik golongan yang kecewa ini.

Kita sudah lama meninggalkan era `jahilliah' – era mencarut, era

mengutuk dan era tikam belakang.

Kesatuan mahu hidupkan budaya Utusan sebenar – yang penuh dengan
ikatan kekeluargaan dan jika ada bersilih faham ia hanya sekadar
selisih faham dalam erti `keluarga' dan kita tidak ada simpan dendam.

Dan Kesatuan tidak perlu bersembunyi, kita ada platform dan bebas
mengkritik secara terbuka hatta ketika duduk semeja dengan pengurusan.

Dan inilah masanya Kesatuan mengajak ahli-ahli buat perubahan,
betulkan kepincangan pengurusan melalui perjuangan NUJ-UM.
Sebab itulah dalam hal ini, ahli NUJ-UM perlu berfikir dengan
mendalam sekiranya ditawarkan jawatan Eksekutif.

Fikir dahulu adakah imbuhan yang ditawarkan berbaloi berbanding dengan
faedah-faedah perkhidmatan yang sedia ada dinikmati di bawah NUJ-UM.
Selama ini banyak ahli yang `terperangkap' setelah disogokkan dengan
pandangan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menerima
tawaran itu.

Selepas itu, baru mereka sedar bahawa imbuhan yang diterima tidak
setimpal dengan beban kerja.

Dalam satu mesyuarat JCC antara Kesatuan dengan majikan yang ketika
itu turut dihadiri oleh bekas Timbalan Ketua Pengarang mengenai isu
eksekutif jelas menetapkan pekerja sebenarnya mempunyai tiga pilihan
iaitu MENOLAK, MENERIMA atau MEMINTA TANGGUH jika ada tawaran
eksekutif.

  • Kalau dalam tempoh enam bulan tidak disahkan ke jawatan eksekutif mereka boleh kembali ke jawatan lama dan kekal di bawah terma-terma NUJ-UM.
  • Kalau ada pegawai beri kata dua bahawa seseorang itu mesti terima kenaikan eksekutif atau dalam erti kata lain dengan paksaan , ia merupakan amalan salah kerana pekerja berhak membuat keputusan kerana perkara itu boleh menjejaskan terma perkhidmatannya.
  • Ahli-ahli NUJ-UM mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat kesatuansekiranya ditawarkan jawatan eksekutif sebelum mereka membuat keputusan secara bebas tanpa unsur paksaan atau hasutan.

Dan ahli-ahli NUJ-UM juga mempunyai hak untuk terus bersama berjuang
dalam Kesatuan dan bukannya hanya akur dengan usaha pengurusan untuk
menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin terdesak sekarang.
Lapisan Eksekutif akan terus panas selagi pengurusan gagal
menyelesaikan ketidakpuashatian mereka. Atau pengurusan yang ada
ambil keputusan berhenti bagi meredakan kepanasan itu.

Sebagaimana Pengerusi Eksekutif yang bersikap 'gentlemen' berjanji di
depan NUJ-UM bahawa beliau akan berundur sebelum tempoh kontraknya
tamat sekiranya masih gagal memajukan syarikat.

Dan kita, NUJ-UM akan terus mempersiapkan barisan bagi pusingan
perundingan CA baru pada tahun depan tahun untuk menuntut kenaikan
gaji dan penambahbaikkan terma perkhidmatan sedia ada.

Seperti ungkapan yang kian popular sekarang 'jalan mesti ke depan'.

No comments: